mutakhir

Kelantan mahu ambil alih projek Lebuh Raya Rakyat

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

KERAJAAN Kelantan membuat permohonan semula kepada Kerajaan Pusat untuk melaksanakan projek Lebuh Raya Rakyat sepanjang 10 kilometer (km) yang dibatalkan sebelum ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, permohonan rasmi itu dikemukakan oleh kerajaan Kelantan menerusi mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg), hari ini.

Katanya, kerajaan Kelantan mengemukakan permohonan rasmi kepada Kerajaan Pusat untuk mengambil alih projek Lebuh Raya Rakyat yang sebelum ini dibatalkan oleh kerajaan negeri beberapa tahun lalu.

“Ia (dibatalkan) kerana syarikat yang mendapat kontrak tidak mampu meneruskan pembinaan lebuh raya sejauh 10 km yang membabitkan belanja RM200 juta.

“MTNg memutuskan supaya pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) meneliti permohonan daripada kerajaan negeri itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) dan perjumpaan dengan penjawat awam di Tunjung, di Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, timbalannya, Dr Radzi Jidin.

Akhbar sebelum ini melaporkan, pada 2017, kerajaan Kelantan mengumumkan sebanyak RM3.2 juta dikumpul menerusi Tabung Akaun Amanah Lebuh Raya Rakyat yang diwujudkan sejak lima tahun sebelum itu, bagi membiayai pembinaan lebuh raya berkenaan.

Projek yang asalnya dijadualkan siap pada Mac 2018 dibatalkan kontraknya atas persetujuan bersama antara pemaju dengan kerajaan negeri.

Mengulas lanjut Mohamed Azmin berkata, permohonan perlu diteliti kerana tidak mahu wujud masalah memandangkan Lebuh Raya Rakyat itu berada di pertengahan projek Central Spine Road (CSR).

“Tidak munasabah jika projek CSR siap tetapi Lebuh Raya Rakyat atas inisiatif kerajaan negeri Kelantan ini terbengkalai,” katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 5:02pm
d