mutakhir

4,000 kerja kosong

Oleh Mohd Rafi Mamat

PROGRAM Kembara Kerjaya Pahang 3.0 2019 anjuran Jabatan Tenaga Kerja Pahang berlangsung selama empat hari bermula hari ini menyediakan 4,000 peluang pekerjaan membabitkan 60 majikan.

Pengarahnya, Pezman Che Hussin berkata, program kali ketiga itu membabitkan tiga lokasi utama iaitu di Dewan Majlis Daerah Rompin (MDR) esok, Dewan Sri Gading, Politeknik Muadzam Shah (PMS), Rompin, (Sabtu) dan Dewan Tun Razak, Temerloh (Ahad).

Katanya, setiap lokasi disertai 20 majikan termasuk syarikat swasta yang membuat sesi temuduga bagi mencari tenaga kerja tempatan.

“Pencari kerja di Rompin, Temerloh dan daerah berhampiran diharapkan tidak melepaskan peluang terbaik ini untuk mendapatkan pekerjaan menerusi program ini.

“Sebanyak 4,000 peluang pekerjaan disediakan oleh majikan dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, perkilangan, pengangkutan, pembinaan dan pentadbiran,” katanya pada majlis pelepasan konvoi Kembara Kerjaya Pahang 3.0 2019 diperkarangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang, Kuantan, hari ini.

Program kembara kerjaya Pahang 3.0 2019 dianjurkan Pusat Jobs Malaysia Pahang (JMC) dan Jabatan Tenaga Rakyat Pahang.

Pezman berkata, pada program kali ini pihaknya akan berada di PMS dalam usaha bertemu dengan pelajar serta mengadakan klinik, penerangan peluang pekerjaan selain latihan turut diadakan.

Beliau berkata, dalam tempoh dua bulan tahun ini seramai 5,997 pencari kerja yang aktif direkodkan di negeri ini, seramai 1,274 di Temerloh, Bera dan Jerantut manakala seramai 506 di Pekan, Rompin dan Muadzam Shah.

Katanya, pecahan kelulusan seramai 247 lepasan Sijil Pelajar Malaysia (SPM), 41 sijil kemahiran, 441 diploma dan 849 ijazah sarjana muda, sementara sebanyak 268 syarikat baru dan 649 majikan yang aktif.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 6:33pm
d