mutakhir

Permaisuri lawat mangsa terhidu gas

Oleh Mohd Sabran Md Sani

PERMAISURI Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan melawat mangsa terhidu gas kimia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru, hari ini.

Keberangkatan baginda itu dikongsi dalam FB The Royal Johor bertajuk ‘Permasuri Johor Lawat Mangsa-Mangsa Terhidu Gas Kimia’.

“Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah berkenan melawat 19 mangsa yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) dipercayai akibat terhidu gas kimia di kawasan Taman Pasir Putih, Pasir Gudang.

“Ia membabitkan 16 pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih, selain seorang kakitangan Jabatan Alam Sekitar, pemandu ambulans Klinik Kesihatan Pasir Gudang serta pekerja kantin SMK Taman Pasir Putih,” kata kenyataan yang dimuat naik itu.

Terdahulu, keberangkatan tiba Permaisuri Johor pada 5 petang disambut Pengarah Jabatan Kesihatan Johor Dr Selahuddeen Abd Aziz sebelum baginda melawat semua mangsa termasuk tiga daripada mereka yang kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sepanjang lawatan lebih sejam itu, baginda turut diberi penerangan oleh Dr Selahuddeen mengenai keadaan terkini setiap mangsa selain turut bertanya khabar terhadap mereka serta ahli keluarga.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 10:11pm
d