mutakhir

Jiran selamatkan jiran

Oleh Faliq Lajim

KEPRIHATINAN jiran sebelah rumah berjaya menyelamatkan nyawa lelaki yang tinggal seorang diri dalam rumahnya di Jalan Peria, Seksyen 24, Shah Alam selepas dia ditemui pengsan di bilik air kediamannya hari ini.

Difahamkan, kelibat lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai menghidap angin ahmar peringkat permulaan (minor stroke) tidak dilihat jirannya sejak kelmarin sebelum bertindak memaklumkan kepada bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Subhaan Mohamed berkata, pintu rumah mangsa dikunci dari dalam sehingga mengakibatkan pihaknya terpaksa mengumpil tingkap kediaman itu.

“Anggota menggunakan peralatan khas untuk mengumpil tingkap di sebelah pintu masuk rumah.

“Pemeriksaan lanjut bersama polis mendapati mangsa terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik air rumahnya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menghubungi pasukan paramedik untuk menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa.

“Punca mangsa tidak sedarkan diri tidak dapat disahkan oleh anggota paramedik ketika menjalankan pemeriksaan awal terhadap mangsa.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 10:38pm
d