mutakhir

Adik Belly

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

JIKA kanak-kanak lain lebih gemar membela kucing dan bergurau senda bersama haiwan comel itu namun lain pula bagi dua beradik ini yang membela anak rusa jantan berusia tiga bulan diberi nama Belly yang dianggap adik buat mereka.

Semuanya bermula apabila rusa ternakan bapa mereka Megat Izham Megat Hassan, 42, melahirkan Belly tidak cukup bulan menyebabkan ia tersangat lemah dan tidak mampu berdiri kerana dilahirkan sebesar lengan manusia.

Megat Izham berkata, dia dan anak-anaknya, Megat Azim, 12, dan Wan Aleesya, 9, kemudian menjaga anak rusa itu dengan membawanya tinggal bersama mereka di dalam rumah dan memberi susu kambing serta susu kerbau.

Menurutnya, anak rusa itu berjaya diselamatkan dan mampu berdiri serta menjadi jinak dengan mereka sekeluarga yang dianggap seperti ahli keluarga sendiri.

“Anak saya yang banyak menjaga Belly dengan memberi minum susu dan memandikannya dengan sabun mandi setiap petang.

“Kesibukan saya menjaga haiwan ternakan kerbau, rusa, dan kambing menyebabkan Belly lebih banyak meluangkan masa bersama anak-anak saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lembah Arang, Wang Tepus, di sini.

Katanya, nama Belly itu diberi oleh anak perempuannya yang sangat menyayangi anak rusa itu yang menjadi penemannya bermain walaupun di rumah ada membela kucing.

“Setiap petang selepas pulang dari sekolah anak-anak saya akan meluangkan masa bermain dengan Belly yang akan dibawa berjalan di sekitar rumah.

“Malah kadangkala Belly seakan-akan ingin memeluk anak dan menciumnya kerana mereka terlalu rapat tambahan anak rusa ini terlalu jinak sehingga ada yang ingin membelinya,” katanya.

Menurut Megat Izham, bukan tiada orang yang ingin membeli anak rusa ini selepas terpikat melihat haiwan liar ini begitu jinak dengan mereka sekeluarga.

“Saya pernah ditawar RM2,500 oleh seorang lelaki yang ingin membeli Belly namun buat masa ini saya masih keberatan ntuk menjualnya.

“Setiap malam Belly akan tidur bersama kami di dalam rumah cuma saya perlu mengikatnya di tepi sudut di dalam rumah kerana jika dilepaskan dia gemar tidur di atas sofa dan agak sukar dibasuh jika ia kencing,” katanya.

Malah, katanya, anak rusa itu langsung tidak mengenali ibu rusa ternakannya kerana selepas dilahirkan mereka terus mengambil dan membelanya seperti anak sendiri.

Sementara itu, Megat Azim berkata, dia menganggap Belly itu seperti adiknya sendiri dan dijaga dengan penuh kasih sayang seperti seorang abang.

“Saya akan memberi ia minum dua kali iaitu pada sebelah pagi dan petang dan setiap hari akan dimandikan dengan sabun agar rusa ini sentiasa wangi,” katanya.

“Malah saya tidak takut bermain dengannya kerana Belly terlalu jinak dan setakat ini tidak pernah mencederakan saya,” katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 8:01am
d