mutakhir

Sukarelawan APM dikhuatiri dibaham buaya

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

ANGGOTA sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kinabatangan hilang selepas dipercayai dibaham buaya dalam kejadian di Sungai Kinabatangan, berdekatan kawasan Tanjung Bulat, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, mangsa Abdul Rahman Nor Sirat, 40, dikatakan sedang menjala udang sebelum disyaki dibaham reptilia itu.

Ketua Pegawai APM Zon Sandakan, Leftenan Ahmad Roslan Mohd Kamel ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu.

“Pasukan APM sudah ke lokasi untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Sebarang perkembangan terkini, akan kami salurkan dengan segera,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.44 malam.

Katanya, menurut maklumat daripada orang awam, mangsa lelaki dipercayai dibaham buaya ketika sedang menjala udang di tebing sungai.

“SAR segera dilakukan semalam dengan menjalankan pemantauan dari tebing sehingga jam 10.35 malam,” katanya.

Katanya, SAR ditangguhkan dan akan disambung hari ini memandangkan mangsa belum ditemui.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 9:03am
d