mutakhir

Polis buru perompak kedai emas [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

POLIS giat memburu suspek kejadian rompak, sebuah kedai emas di Jalan Niaga, di Kota Tinggi, semalam.

Suspek dipercayai menggunakan Toyota Vios untuk melarikan diri dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan terperinci termasuk menubuhkan pasukan khas bagi memburu dalang rompakan dalam kejadian jam 6.35 petang itu.

“Informasi (maklumat berkaitan kejadian rompak kedai emas) ini sah.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Tinggi sudah menubuhkan pasukan memburu suspek,” katanya ketika mengesahkan mengenai kejadian rompakan terbabit.

Beliau berkata, polis juga sedang menyiasat nombor kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu.

“Bagaimanapun, nombor plat kereta (seperti yang ditularkan) masih dalam siasatan kesahihannya.

“Kita mempunyai petunjuk untuk memberkas suspek dalam tempoh terdekat,” katanya.

Ahsmon berkata, orang awam diminta untuk menyalurkan maklumat terus kepada polis sekiranya mengetahui mengenai kejadian itu.

Sementara itu, terdapat video kejadian samun berkenaan yang dirakam orang awam tular Facebook (FB) mendapat perhatian netizen.

Menerusi video berdurasi 30 saat berkenaan, beberapa lelaki dilihat sedang mengejar Toyota Vios berwarna hitam.

Kereta itu dilihat dipandu dalam keadaan tergesa-gesa dipercayai selepas berlaku rompakan di sebuah kedai emas, selain terdapat beberapa individu lain yang berada di lokasi kejadian.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 11:35am
d