mutakhir

Mokhtar, Nasruddin beri keterangan

Oleh Nik Sukry Ramli

DUA pemimpin PAS dari Pahang tampil memberi keterangan di Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Indera Mahkota, di Kuantan, hari ini.

Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik tiba di perkarangan kompleks itu kira-kira jam 10 pagi, manakala Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi pula tiba kira-kira 30 minit kemudian.

Kedua-dua mereka dipanggil bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung dana RM90 juta yang didakwa diberikan UMNO kepada parti berkenaan.

Setakat ini, SPRM sudah merekodkan keterangan dari 13 orang individu bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Kelmarin, Ketua Dewan Ulama PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Terengganu sudah memberikan keterangan kepada SPRM, selain Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Dr Rameli Musa.

Minggu lalu, SPRM memanggil Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin dan Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Mohamed Nasir Daud.

Keterangan berkaitan isu berkenaan mula direkodkan SPRM selepas Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang mengumumkan penyelesaian luar mahkamah kes saman antara Hadi dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 12:03pm
d