mutakhir

Ajal jatuh gaung

Oleh Fardy Bungga

PEMANDU lelaki maut manakala isteri, anak dan cucu cedera selepas kenderaan dipandu terbabas sebelum terjunam ke gaung di Jalan Kampung Timpangoh, Sugud, di Penampang, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, mangsa Matris @Patrick Doulit, 58, yang memandu pacuan empat roda jenis Mazda Fighter dikatakan sedang dalam perjalanan mengambil hasil tanaman sayuran di kampung berkenaan.

Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, mangsa gagal mengawal kenderaan dipercayai akibat keadaan jalan yang tidak rata dan berbukit.

Kenderaan yang dipandu mangsa kemudiannya terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam ke gaung setinggi kira-kira 50 meter.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, ketika kejadian, mangsa dan isteri tercampak keluar dari kenderaan, manakala anak dan cucu masih terperangkap di dalam kenderaan.

Katanya, kedua-dua anak dan cucu mangsa yang cedera kemudiannya keluar untuk mendapatkan bantuan orang kampung.

“Pemandu kenderaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya yang berusia 56 tahun hanya cedera.

“Pasukan bomba yang tiba kemudiannya membantu membawa keluar kedua-dua mangsa dari gaung sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan awal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang diketuai Dr P. Rooven dari Hospital Queen Elizebeth I.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 12:18pm
d