mutakhir

Mangsa hidu gas metana stabil

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SERAMAI 39 mangsa yang masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, sejak semalam, akibat terhidu gas dipercayai metana, di laporkan dalam keadaan stabil.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, daripada jumlah itu, 21 mangsa adalah pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, manakala 18 lagi adalah orang awam berusia antara lima hingga 44 tahun.

Katanya, dua daripada pelajar SMK Pasir Putih berada di unit rawatan rapi (ICU), manakala pengusaha kantin dan pemandu ambulans, di tempatkan di wad sama membabitkan orang awam.

“Kesemua mereka dilaporkan stabil, namun masih dalam pemantauan rapi dan di bawah pengawasan. Bagaimanapun, tiada mangsa dalam kalangan warga emas setakat ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di HSI, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Perubatan II, Dr Surya Marsom.

Nie Ching berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengenal pasti kilang yang bertanggungjawab membuang sisa terbabit ke dalam sungai.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil kepada pihak berkenaan berikutan insiden itu adalah insiden yang membahayakan nyawa.

“Ini bukan kali pertama, kejadian seumpama ini pernah berlaku di Klang pada tahun lalu, namun tidak seteruk ini,” katanya.

Sementara itu, Surya berkata, sebahagian daripada mangsa akan dibenarkan pulang hari ini.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 12:37pm
d