mutakhir

Nik Azman Ketua Audit Negara baharu

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

BEKAS Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dilantik sebagai Ketua Audit Negara baharu untuk tempoh dua tahun mulai 23 Februari lalu hingga 22 Februari 2021.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, pelantikan Nik Azman adalah menggantikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 22 Februari lalu.

Menurutnya, berdasarkan Fasal (1) Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja memperkenankan pelantikan Nik Azman.

“Beliau (Nik Azman) berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi Gunaan dari Universiti Malaya (UM) dan Sarjana Ekonomi dari University of Nebraska, Amerika Syarikat mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi dan kewangan.

“Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Unit Perancang Ekonomi, Bank Dunia Washington DC, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata, kerajaan juga merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Madinah di atas segala khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Audit Negara.

Katanya, khususnya dalam usaha mentransformasi dan menstruktur semula sistem pengauditan serta mengukuhkan sistem pengurusan kewangan kerajaan.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 12:54pm
d