mutakhir

Burger nangka enak dan berkhasiat

Oleh Mohd Rafi Mamat

SIAPA sangka buah nangka yang selama ini hanya dimakan begitu saja juga boleh dihasilkan sebagai bahan menghasilkan daging burger yang enak dan berkhasiat.

Ia berjaya dihasilkan menerusi penyelidikan selama enam tahun dilakukan penyelidik kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Dr Ibrahim Abu Bakar.

Ibrahim berkata, usaha menghasilkan produk makanan segera berasaskan nangka pertama di negara ini bermula 2013 hasil sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang yang mahu lebih banyak produk dihasilkan menggunakan buah tempatan.

Menurutnya, penyelidikan dilakukan dengan mengolah bahan utama iaitu nangka dengan pelbagai campuran tepung sebelum boleh dijadikan burger yang berkhasiat serta dapat diterima pengguna.

“Untuk menghasilkan burger nangka berkualiti serta berkhasiat, pemilihan di peringkat buah amat penting dan saya hanya menggunakan nangka muda segar saja.

“Rasa nangka muda seakan daging ayam, selain itu ia juga mudah dicarik halus yang menjadi sebagai pengganti daging,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, beliau menggunakan nisbah 70 peratus buah nangka muda dan 30 peratus campuran cendawan atau ayam atau daging lembu sebagai pilihan kepada pengguna.

Katanya, antara khasiat nangka muda adalah mengandungi serat tinggi dan rendah lemak selain lembut serta mudah dikunyah yang sesuai untuk semua peringkat umur termasuk kanak-kanak.

“Ia juga mengandungi vitamin C dan A, kalium, kalsium dan zat besi selain mampu mencegah beberapa jenis penyakit dan penghapusan kadmium iaitu sejenis logam berat.

“Kepingan burger nangka yang dihasilkan ini mengandungi serat tinggi dan bertekstur lembut tanpa bahan pengawet, pewarna serta perisa tambahan yang sesuai menjadi pengganti makanan segera di pasaran,” katanya.

Burger nangka itu mempunyai sijil halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan

kelulusan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 3:33pm
d