mutakhir

'Alhamdulillah Amirul sudah senyum'

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

“TIADA apa yang dapat menggembirakan hati saya apabila dapat melihat senyumannya biarpun dia masih belum dapat bercakap,” luah Nurul Ain Alias, 28, ibu kepada, Muhammad Amirul Hakimi Muhd Yuslizam, 9.

Muhammad Amirul Hakimi yang dirempuh di kereta api di perhentian Tok Uban, Pasir Mas, kelmarin, dilaporkan sudah stabil dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu.

Nurul Ain turut meluahkan rasa syukur melihat perkembangan positif anak sulung daripada dua beradik itu, walaupun Muhammad Amirul Hakimi tidak dapat bercakap kerana wayar di mulutnya belum dibuang.

“Tidak dapat saya gambarkan bagaimana perasaan saya sebaik sahaja mendapat berita dia dilanggar kereta api ketika itu, ditambah pula dengan keadaannya yang berlumuran darah dengan kecederaan teruk di kepala.

“Muhammad Amirul Hakimi seperti mati hidup semula. Saya dapat rasakan kesakitan yang dialami anak ketika ini, malah dia beberapa kali mengalirkan air mata terutama apabila neneknya datang menjenguknya di hospital.

“Ada masanya dia menghulurkan tangan seperti mahu memberitahu sesuatu dan saya hanya mampu berbisik kepadanya supaya dia terus kuat dan bersemangat melawan sakit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nurul Ain berkata, dia berasa lega apabila Muhammad Amirul Hakimi sudah mampu tersenyum dan memberi maklum balas kepada doktor dan jururawat yang merawatnya.

“Buat masa ini doktor memaklumkan Muhammad Amirul Hakimi masih perlu dirawat di hospital sehingga keadaannya betul-betul stabil, apatah lagi ia membabitkan kecederaan di kepala.

“Saya tidak kisah berkampung di HUSM asalkan anak saya sihat seperti biasa. Sekarang saya bergilir-gilir menjaga Muhammad Amirul Hakimi dengan bapanya, Muhd Yuslizam Yunus, 33.

“Terima kasih saya ucapkan kepada mendoakan Muhammad Amirul Hakimi termasuk pihak HUSM yang memberi rawatan terbaik untuk anak saya,” katanya.

Berita berkaitan

Budak dirempuh kereta api stabil

Budak koma basikal dirempuh kereta api

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 3:52pm
d