mutakhir

Tiada lagi kebakaran

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

OPERASI pemadaman kebakaran Hutan Simpan Gunung Korbu antara Pos Legap dan Pos Kuala Mu di Sungai Siput sejak Selasa lalu membabitkan 30 peratus kawasan hutan simpan itu selesai hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, operasi pemadaman menggunakan jalan darat sejak semalam berjaya diselesaikan hari ini dan pemantauan melalui dron mendapati sudah tiada kesan tompokan asap.

“Operasi pemadaman melalui jalan darat bermula semalam dan jam 8 pagi tadi, bomba melakukan tinjauan menerusi dron milik Jabatan Perhutanan Perak bagi memastikan kawasan keseluruhan yang terbakar sudah dipadamkan.

“Hasil pemantauan mendapati satu tompokan asap sebelum ketua operasi mengarahkan anggota membuat tinjauan melalui jalan darat sekali lagi bagi memastikan ia benar-benar dipadamkan,” katanya.

Menurutnya, selepas kesemua kawasan dipastikan tiada lagi tompokan asap, operasi pemadaman kebakaran itu akhirnya ditamatkan pada jam 1.01 tengah hari.

Harian Metro Selasa lalu melaporkan kebakaran 30 peratus hutan simpan itu membabitkan keluasan lapan hektar dengan ketinggian kawasan adalah 457 meter.

Seramai 30 anggota bomba dengan bantuan polis, Jabatan Perhutanan Negeri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli terbabit dalam operasi itu dan bomba terpaksa menggunakan bom air melalui helikopter bagi mengawal kebakaran.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 4:57pm
d