mutakhir

Lari mana dik?

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LIMA remaja perempuan yang melarikan diri dari sebuah rumah kebajikan di Hulu Langat, sejak Ahad lalu belum ditemui.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya juga kini dalam usaha mengesan semua remaja berkenaan.

“Pihak kami sudah menerima laporan daripada pihak pengurusan rumah berkenaan dan sedang mengesan semua remaja perempuan itu.

“Sehingga kini semua mereka gagal dikesan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja berkenaan, diminta menyalurkannya kepada polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lima remaja perempuan melarikan diri kira-kira jam 3.30 petang.

Ia disedari selepas penyelia rumah kebajikan itu mendapati kunci pagar utama yang diletakkan di atas meja pejabat hilang.

Ketika kejadian, penyelia berkenaan merasakan ada individu memasuki pejabat berkenaan sebelum mendapati kunci itu hilang.

Penyelia itu kemudian bergegas keluar dan mendapati pagar berkenaan dalam keadaan terbuka.

Pemeriksaan lanjut mendapati lima penghuni berusia antara 15 hingga 18 tahun didapati melarikan diri.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 4:59pm
d