mutakhir

Bantu 27 sekolah di DUN Dengkil

Oleh Samadi Ahmad

SEBANYAK 27 sekolah di kawasan Dengkil akan menerima bantuan pendidikan yang disalurkan melalui Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata, bantuan itu antara program khidmat masyarakat (CSR) pihaknya dalam membantu meningkatkan lagi aspek pendidikan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, program itu susulan yang diadakan tahun lalu dan setiap sekolah menerima bantuan berbeza mengikut keperluan yang diketengahkan kepada pihaknya.

“Dalam masa terdekat ini, saya akan mengadakan pertemuan dengan semua pengetua, guru besar dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi membincangkan masalah serta keperluan di setiap sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sukan Tahunan Kali Keenam dan Sukan Dalaman, Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Pinggiran Putra, Sepang, semalam.

Yang turut hadir, Guru Besar SK Desa Pinggiran Putra, Sukimin Juki dan Yang Dipertua PIBG, Nasharuddin Muhammad.

Tahun lalu, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Dengkil menyalurkan bantuan kira-kira RM200,000 bagi membantu meningkatkan infrastruktur, peralatan sukan serta menggantikan kelengkapan sekolah yang rosak seperti kerusi dan meja pelajar.

Adhif Syan berkata, bidang pendidikan menjadi keutamaan beliau sejak menjadi wakil rakyat kawasan itu kerana pelajar adalah aset kepada pembangunan negara.

Beliau berkata, pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, pihaknya akan mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan syarikat korporat turut terbabit sama dalam menyalurkan bantuan ke arah pembangunan bidang pendidikan khususnya di kawasan Dengkil.

“Bantuan tidak semestinya bergantung kepada kerajaan semata-mata kerana proses kelulusan perlu melalui pelbagai prosedur dan mengambil masa lama.

“Justeru, tidak salah sekiranya ada pihak yang sukarela membantu dalam membangunkan lagi bidang akademik dan pendidikan di negara ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adhif Syan turut memaklumkan pihaknya akan membantu untuk mendapatkan peruntukan RM200,000 bagi menaik taraf dataran terbuka di sekolah itu bagi dikemukakan kepada kerajaan negeri Selangor dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 5:19pm
d