mutakhir

Mudahnya kau cari duit...

Oleh Hasbi Sidek

MENCARI wang mudah dengan menjaga parkir secara haram, sekumpulan lelaki yang sebahagian besar daripadanya penagih dadah mampu mendapat pendapatan RM350 sehari.

Lokasi mereka adalah kawasan tumpuan warga kota untuk membeli-belah, menjamu selera dan sekitar kawasan pusat hiburan.

Bagaimanapun, kegiatan ulat parkir yang menjamin pendapatan lumayan tanpa mengeluarkan modal di sekitar Changkat, Pudu Sentral dan berhampiran pusat hiburan dekat Jalan Tun Razak, semalam, terbantut apabila diserbu pasukan dari Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Ahmad Mahmod.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam Ops Ulat Parkir yang bermula 12 tengah hari itu, pihaknya menahan 17 individu yang dipercayai menjaga tempat letak kenderaan secara haram.

“Hasil operasi yang dijalankan di tiga lokasi tumpuan dekat Changkat Bukit Bintang, Pudu Sentral dan di kawasan pusat hiburan dekat Jalan Tun Razak kami menahan seramai 17 ular parkir yang berusia dari 24 hingga 64 tahun.

“Hasil ujian air kencing terhadap ulat parkir, kami mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis Methaphetamine. Ada juga di antara mereka individu gelandangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati, kumpulan ulat parkir ini mengenakan caj dari RM10 hingga RM20 di sekitar kawasan pusat hiburan, manakala di sekitar tumpuan pusat membeli-belah dan kedai makan, mereka mengenakan caj dari RM5 hingga RM10.

“Dengan mensasarkan mangsa di kawasan tumpuan di ibu kota, kami mendapati mereka mampu mengutip sehingga RM350 sehari,” katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 5:28pm
d