mutakhir

Sudah-sudahlah buat kerja tak berfaedah

Oleh Adnan Ibrahim

POLIS menafikan ada anggotanya hilang di Gunung Lambak, Kluang seperti yang tular di Facebook (FB) sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, tular mengenai anggota polis hilang itu berlaku pada 2016 dan bukan seperti yang dilaporkan akuan FB berkenaan.

Menurutnya, cerita mengenai wanita yang dikatakan sebagai puteri bunian juga tidak benar kerana hasil maklumat orang ramai bahawa gambar itu adalah sesi penggambaran pengantin di kawasan berdekatan Gunung Lambak.

“Orang yang viralkan cerita mengarut ini dah macam tak ada kerja lain dan tujuannya hanya untuk mencari populariti melalui sesuatu kejadian yang dirasakan sensasi.

“Sudah-sudahlah buat kerja yang tak berfaedah seperti ini kerana tidak mendapat apa-apa keuntungan, malah menyusahkan orang ramai saja,” katanya ketika dihubungi bagi pengesahan tular itu hari ini.

Mohd Abduh turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memuat naik berita tidak betul yang boleh menimbulkan kegusaran kepada orang ramai.

“Perbuatan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Mereka yang menerima berita yang meragukan seperti ini juga perlu membuat semakan kepada pihak berkuasa terlebih dulu bagi mengetahui kesahihannya,” katanya.

Terdahulu, satu akaun FB berkongsi mengenai kejadian misteri dilalui pihak polis yang didakwa terakam gambar orang bunian ketika misi mencari anggotanya yang hilang di gunung terbabit.

Sekeping gambar wanita berbaju putih didakwa puteri bunian turut dirakam di kawasan pergunungan itu bersama beberapa individu.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 5:54pm
d