mutakhir

Bapa Adib perlu beri keterangan

Oleh Aizat Sharif

BAPA kepada Allahyarham Muhammad Adib, anggota bomba yang terkorban dalam kejadian rusuhan pada November lalu, bersedia untuk menghadiri prosiding inkues dalam menentukan punca kematian anaknya itu di Mahkamah Koroner di Shah Alam.

Mohd Kassim Abdul Hamid, 63, berkata, dia dimaklumkan perlu hadir untuk memberi keterangan dalam inkues terbabit oleh pihak peguam, namun belum ditentukan tarikhnya.

“Jika sudah dipanggil, saya akan hadir. Buat masa ini, saya hanya tahu perkembangan inkues melalui media massa serta anak sulung (Muhammad Asyraf) yang menetap di Kuala Lumpur dan turut hadir inkues sebelum ini.

“Biarpun mengetahui serba sedikit perkembangan, tetapi saya masih mengharapkan keadilan dan akan terus menunggu hasil keputusan inkues terbabit,” katanya.

Mohd Kassim berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Majlis Keberangkatan Sultan Kedah menunaikan Solat Jumaat dan Majlis Bacaan Tahlil Muhammad Adib Mohd Kassim di Masjid As Sa’adah, Kampung Tebengau, Kuala Kedah, Alor Setar, hari ini.

Terdahulu, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menunaikan solat Jumaat serta majlis tahlil di masjid terbabit.

Baginda yang lengkap berbaju Melayu putih serta bersongket tiba pada 1.10 tengah hari sebelum menunaikan solat sunat.

Keberangkatan baginda disambut Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Mufti Kedah Datuk Fadzil Awang, wakil Bomba Kedah Penguasa kanan bomba 1 Farid Asyhadi Assa’ad dan Mohd Kassim.

Hampir 1,000 jemaah dari sekitar Kuala Kedah bersama Sultan Kedah menunaikan solat Jumaat yang diimamkan Mohamad Fida’iy Zainal Abidin.

Baginda kemudian berkenan menyertai majlis tahlil sempena memperingati anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib yang maut selepas diserang ketika kejadian rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, 27 November tahun lalu.

Baru-baru ini, Mahkamah Koroner Shah Alam diberitahu Pakar Kardiotorasik di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr S Anand, bahawa kecederaan Muhammad Adib mungkin berpunca akibat hentakan, jatuh dari bangunan tinggi atau diserang yang mungkin disebabkan beberapa faktor hingga mewujudkan kesan yang luar biasa kerana hanya tertumpu pada bahagian rusuk sahaja.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Pada 27 Disember lalu, media melaporkan Peguam Negara akan mengarahkan majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 7:01pm
    d