mutakhir

Lebuh raya Kadok-Ketereh siap tengah tahun

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PROJEK lebuh raya laluan Kadok ke Ketereh sepanjang 6.85 kilometer (km) dijangkakan dapat digunakan sebelum sambutan Aidilfitri tahun ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, projek pakej 2A itu dijadualkan siap lebih awal dan kini kerja akhir sedang rancak dijalankan.

Bagaimanapun, menurutnya, projek itu mesti disiapkan dengan kualiti baik untuk kesejahteraan pengguna jalan raya.

“Hari ini saya turun ke lapangan untuk melihat sendiri kemajuan projek lebuh raya Kota Bharu ke Kuala Krai yang sedang dilaksanakan dan dalam perancangan untuk pakej 2A (Kadok-Ketereh) dan 2B (Ketereh-Kok Lanas).

“Untuk projek pakej 2A dari Kadok ke Ketereh dijangka siap pada pertengahan tahun ini dan saya harap ia dapat digunakan sekurang-kurangnya sementara ketika musim perayaan Aidilfitri.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu mereka buat kerja tergesa-gesa dan saya diberi jaminan pihak kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memantau kerja ini untuk menjamin kualiti baik,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri solat Jumaat dan Program Kenduri Rakyat di Masjid Mahmuddi, Melor dekat Kota Bharu, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak kementerian sedang meneliti permohonan kerajaan negeri supaya Kerajaan Persekutuan mengambil-alih Lebuhraya Rakyat sepanjang 10 km dari Bukit Tiu ke Berangan Mek Nab di Machang.

“Kita tidak mahu bebanan kewangan dan implikasi perundangan dibebankan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Satu jawatankuasa sedang berbincang antara kerajaan negeri dan Kementerian Kerja Raya berhubung perkara itu,” katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 7:43pm
d