mutakhir

Lelaki cuba menyorok mati jatuh apartmen

Oleh Farah Suhaidah Othman

SEORANG lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat tiga apartmen di Tambun di Ipoh, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 4.33 pagi itu, mangsa, Goey Cho Kiang, 33, dikatakan terjatuh ketika memanjat bahagian luar sebuah rumah di apartmen berkenaan.

Difahamkan, sebelum itu seorang lelaki berusia 36 tahun bertengkar dengan teman wanita warga China kerana berang kekasihnya itu membawa pulang mangsa ke rumah berkenaan.

Berikutan itu, mangsa dipercayai memanjat bahagian luar rumah untuk bersembunyi dan melarikan diri sebelum terjatuh.

Goey yang beralamat di Taman Camar Jaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati, ketika pasangan kekasih itu bertengkar, pengawal keselamatan di situ menasihatkan mereka menghentikan pertengkaran dan tidak membuat bising.

Katanya, ketika menasihatkan pasangan itu, tiba-tiba terdengar bunyi jeritan dari tingkat bawah apartmen berkenaan.

“Mereka membuat pemeriksaan dan mendapati mangsa terjatuh dari tingkat tiga apartmen berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh ketika memanjat bahagian luar rumah untuk bersembunyi dan melarikan diri,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 7:46pm
d