mutakhir

Bukan hilang, hanya salah faham

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

KANAK-KANAK perempuan berusia lima tahun yang dilaporkan ‘hilang’ dari taska di Felda Bukit Goh, Kuantan, hari ini dijumpai selamat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, siasatan polis mendapati ia adalah satu salah faham sebelum insiden itu ditularkan.

Katanya, siasatan pihaknya mendapati kanak-kanak itu diambil seorang wanita yang juga ibu kepada rakan taskanya pada jam 12.30 tengah hari ini.

“Berdasarkan keterangan wanita itu, dia mengambil kanak-kanak berkenaan selepas dia bersama anaknya di dalam taska.

“Wanita berkenaan mengambil kanak-kanak terbabit untuk dihantar ke rumahnya namun tidak mengetahui alamat rumah kanak-kanak itu sebelum membawanya pulang ke rumah mereka tanpa memaklumkan kepada sesiapa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Noor berkata, ibu kanak-kanak terbabit kemudian tiba ke taska itu pada 12.45 tengah hari untuk mengambil anaknya sebelum dimaklumkan anaknya sudah tiada dan sudah pulang dengan seorang perempuan.

Katanya, usaha mencari kanak-kanak perempuan itu di kawasan sekeliling tidak berhasil sebelum perkara itu ditularkan di dalam aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun, dia dilaporkan selamat selepas dihantar pulang wanita terbabit ke rumah datuknya di Taman Bukit Goh pada 1.30 tengah hari ini.

Beliau berkata, anggota polis yang bertugas di Pondok Polis Bukit Goh kemudian memanggil mereka yang terbabit termasuk guru taska serta ibu kanak-kanak berkenaan dan wanita yang mengambilnya bagi mendapat gambaran sebenar insiden itu.

“Hasil daripada keterangan mereka kita dapat simpulkan berlaku salah faham. Semua pihak bersetuju selesai cara baik. Nasihat dan teguran juga sudah diberikan kepada mereka supaya lebih berhati-hati,” katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 8:19pm
d