mutakhir

Momen raja sehari 'Kamen Rider Faiz'

Oleh Siti Rohana Idris

MINAT mendalam terhadap adiwira ‘Kamen Rider Faiz’ mendorong seorang kerani sanggup memakai kostum adiwira itu untuk mengabadikan kenangan di hari perkahwinan dengan pasangannya sehingga tular di media sosial.

Momen itu diabadikan oleh Alif Hakim Azhar, 27 yang juga seorang ahli Cosplay Kelantan untuk sesi penggambaran ‘outdoor’ bersama pasangannya, Nor Afizam Mohd Utama, 25, dari Kampung Laut, Tumpat, pada 8 Februari lalu.

Alif Hakim berkata, dia sudah lama berhasrat untuk mengenakan kostum Kamen Rider Faiz di hari bersejarah persandingannya itu.

Katanya, dia bersyukur idea itu disokong isteri yang memahami minatnya terhadap adiwira itu sejak di bangku sekolah lagi.

“Sesi ‘outdoor’ itu dilakukan di Pantai Mek Mas, Kota Bharu (Kelantan) pada sebelah petang selepas majlis persandingan kami.

“Kostum yang dibeli dengan harga RM3,000 itu sudah lama berada dalam simpanan dan memang saya berhasrat untuk memakainya untuk sesi ‘outdoor’ perkahwinan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alif Hakim yang bekerja sebagai kerani pentadbiran di sebuah syarikat kosmetik di Pasir Pekan di sini berkata beberapa keping gambar ‘outdoor’ itu dimuat naik ke akaun Twitternya pada malam semalam.

“Saya langsung tidak menyangka semua gambar itu mendapat banyak perkongsian seterusnya menjadi tular sekelip mata.

“Di hari persandingan kami bulan lalu itu, saya turut menjemput ramai rakan dari Cosplay Kelantan dan beberapa dari mereka hadir dengan mengenakan kostum pelbagai watak adiwira termasuk Spiderman, Power Rangers, Naruto dan beberapa watak dalam filem Star Wars,” katanya.

Menurutnya, dia memiliki lebih 50 koleksi watak itu termasuk baju-T, patung dan cakera padat siri cerita aksi Kamen Rider.

Katanya, hobinya itu turut dimanfaatkan dengan membuat kerja amal iaitu menyalurkan sumbangan hasil dari pameran Cosplay yang dianjurkan kepada rumah kebajikan.

“Sebahagian dari hasil jualan atau bayaran yang dikenakan kepada orang ramai untuk bergambar dengan maskot, kami salurkan kepada rumah anak yatim atau mereka yang memerlukan.

“Ia adalah sumbangan kecil kami bagi membantu golongan asnaf di negeri ini dan diharapkan akan dapat menjadi contoh untuk orang lain,” katanya.

Hari ini, Harian Metro turut melaporkan Mohd Farid Mohd Lawi, 33, sanggup berpanas terik memakai pakaian adiwira ‘Kamen Rider Black’ untuk menceriakan orang ramai dalam satu majlis perkahwinan di Kampung Gajah Mati, Semerak, Pasir Puteh di Kelantan.

Meskipun terpaksa memakai empat lapis pakaian seberat lebih dua kilogram bersama aksesori, Mohd Farid yang menggagahkan diri melakukannya demi mencari rezeki buat keluarga.

Mohd Farid menerima jemputan untuk menghiburkan orang ramai dalam majlis perkahwinan itu untuk menjana pendapatan melalui kerjaya sebagai maskot adiwira.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 10:37pm
d