mutakhir

Tak sempat capai apa-apa...

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

“BUKAN sahaja rumah terbakar, malah 4,000 karipap dan 200 kuih tepung bungkus yang ditempah pelanggan turut hangus begitu sahaja,” kata peniaga kuih Faridah Mat Zain, 54, selepas rumahnya terbakar di Kampung Simpul, Tok Uban, Pasir Mas, pagi hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi itu, Faridah turut kerugian kira-kira RM50,000 selepas peralatan kuih tidak dapat diselamatkan dalam kebakaran terbabit, bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Faridah ketika ditemui wartawan Harian Metro berkata, kebakaran itu disedari anaknya, Wan Nur Athirah Wan Omar, 18, selepas terhidu bau hangit terbakar dan terkejut melihat api marak di dapur tempatnya mengukus kuih tepung bungkus.

“Ketika kejadian saya baru sahaja selesai solat subuh, terus ke dapur melihat apa yang terjadi dan berlari keluar rumah kerana api sudah marak.

“Saya dan suami (Wan Omar Wan Samat, 57) bersama empat anak berusia 12 sehingga 23 tahun tidak sempat mencapai apa-apa dan hanya keluar menyelamatkan diri,” katanya yang sudah 30 tahun menjual pelbagai jenis kuih.

Menurutnya, sebelum kejadian dia sempat menyiapkan kuih untuk dijual dan ditempah pelanggan pada sebelah malam sebelum kejadian.

“Pagi itu, saya meneruskan kerja mengukus dan menggoreng karipap, namun semuanya sudah hangus terbakar.

“Saya terpaksa menelefon pelanggan untuk memberitahu kejadian yang menimpa dan Alhamdulillah mereka memahaminya malah bersimpati dengan apa yang terjadi,” katanya

Katanya, sepanjang mengusahakan kuih, itu kemalangan paling tragis pernah dilaluinya.

“Bagaimanapun, saya reda dan bersyukur semua ahli keluarga selamat.

“Buat sementara waktu, saya menumpang berteduh di rumah saudara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Pegawai Bomba Kanan II, Adnan Muhammad Juri berkata, pihaknya menerima laporan 7.29 pagi dan terus bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami dengan kekuatan lapan anggota bomba terus menjalankan operasi pemadaman dan operasi tamat sepenuhnya 15 minit kemudian.

“Jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 11:29pm
d