mutakhir

Pengurus akaun lesap dengan wang RM4.3 juta

Oleh Faliq Lajim

SYARIKAT pembinaan di Bandar Bukit Tinggi, Klang kerugian RM4.3 juta selepas pengurus akauntannya dipercayai melakukan pecah amanah dan menghilangkan diri kini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, lelaki berusia 49 tahun itu ditugaskan mentadbir bahagian perakaunan dan menguruskan hal kewangan syarikat itu sejak Jun lalu.

“Lelaki itu dipercayai menghilangkan diri sejak 19 Januari lalu namun kes pecah amanah itu hanya disedari syarikat terbabit 1 Mac lalu sebelum tampil membuat laporan polis.

“Hasil siasatan dalaman syarikat itu mendapati lelaki itu disyaki melakukan pecah amanah sebagai pengurus akauntan syarikat dengan menggelapkan wang syarikat RM4.3 juta.

“Selain tidak hadir bekerja, dia meminta bantuan RM45,000 dengan syarikat itu untuk membiayai kos pembedahan jantung di Singapura,” katanya hari ini.

Shamsul Amar berkata, semakan lanjut mendapati lelaki itu disyaki turut membuat beberapa tuntutan palsu yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan individu lain.

“Siasatan bagaimanapun masih dijalankan dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Orang Yang Disyaki (OYDS) dikenali sebagai Hoh Kian Kuen, 48, diminta menyalurkannya di balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

“Maklumat turut boleh disalurkan terus kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Asisten Superintendan Rafi Arifai di talian 012-2404749,” katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2019 @ 11:02am
d