mutakhir

Inisiatif khas rumah untuk M40 Mei ini

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

RANGKA bagi inisiatif khas untuk memudahkan golongan M40 memiliki rumah akan diperkenalkan menjelang Mei ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, langkah berkenaan adalah bagi membantu golongan terbabit dalam menangani isu pemilikan rumah.

“Program kepada kumpulan M40 sebenarnya diperluaskan daripada program B40 cuma, M40 ini ada dua kategori iaitu atasan dan bawahan.

“Ia membabitkan kategori berpendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 seterusnya RM5,000 hingga RM10,000.

“Justeru, kita akan lihat bagaimana kita nak bantu mereka dengan rumah mampu milik berdasarkan pendapatan dan sebagainya,” katanya pada majlis penutup kempen global #KitaSemuaMaryam anjuran Gabungan Wanita Malaysia untuk Al -Quds dan Palestin (MWCQP) di Cyberjaya hari ini.

Pada 7 Mac lalu, media melaporkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal memperkenalkan inisiatif atau skim khas bagi memudahkan golongan pertengahan atau sederhana (M40) memiliki kediaman sendiri.

Zuraida dilaporkan berkata, KPKT kini dalam proses merangka inisiatif berkenaan dan akan mendapatkan kerjasama daripada beberapa agensi berkaitan.

Beliau dipetik berkata, kerajaan bukan saja prihatin terhadap golongan berpendapatan rendah (B40), tetapi juga M40 yang dilihat turut berdepan dengan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.

Disiarkan pada: March 9, 2019 @ 12:00pm
d