mutakhir

PATI kantoi ke Pulau Ketam

Oleh Iskandar Shah Mohamed

PERJALANAN 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) menuju ke Pulau Ketam, Pelabuhan Klang terbantut apabila dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira 0.1 batu nautika selatan pulau itu, semalam.

Semua lelaki warga Indonesia berusia 21 hingga 35 tahun itu ditahan ketika menaiki feri penumpang tempatan pada jam 12.35 tengah hari.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, ketika kejadian bot Maritim sedang melakukan rondaan rutin di sekitar kawasan perairan berkenaan.

“Kita kemudian bertindak menahan feri berkenaan yang dipercayai dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang ke Pulau Ketam.

“Hasil pemeriksaan mendapati 10 penumpang warga asing melakukan kesalahan imigresen iaitu tujuh tiada dokumen pengenalan diri sah dan tiga lagi memiliki dokumen tamat tempoh,” katanya hari ini.

Menurutnya, semua lelaki itu dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

Mohammad Rosli berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Disiarkan pada: March 9, 2019 @ 1:19pm
d