mutakhir

Bayi empat bulan maut [METROTV]

Oleh Farah Suhaidah Othman

BAYI lelaki berusia empat bulan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, selepas didapati dalam keadaan lemah ketika dalam jagaan sebuah taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di Bandar Seri Botani.

Bapa bayi itu, Meor Ikram Addnan, 32, berkata, anaknya Muhammad Aakif Iskandar Meor Ikram yang juga anak bongsu daripada tiga beradik baru sebulan dihantar ke taska berkenaan selepas isterinya, Ismahani Zainal Abidin, 30, selesai berpantang.

Katanya, anak keduanya juga dihantar ke taska sama sejak setahun lalu.

Menurutnya, dia menerima panggilan daripada pihak taska kira-kira 6 petang yang memaklumkan keadaan anak dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

“Ketika itu, saya baru saja pulang daripada mengambil anak keduanya yang dimasukkan ke wad HRPB sejak tiga hari lalu kerana diserang asma .

“Saya bertanyakan pengasuh macam mana boleh jadi sampai macam ini, namun mereka tidak cakap apa-apa, tidak ada jawapan.

“Saya terkilan pengasuh hanya memaklumkan keadaan anak yang sudah teruk jam 6 petang, iaitu waktu yang biasa saya ambil anak,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB, Ipoh hari ini.

Meor Ikram berkata, dia terus menghantar anaknya ke HRPB sebelum disahkan meninggal jam 6.55 petang.

Katanya, sebelum menghantar anak bongsunya ke taska pagi semalam, bayinya berada dalam keadaan sihat, namun hidungnya sedikit berair akibat selesema.

“Sepanjang saya menghantar kedua-dua anak saya ke taska berkenaan termasuk anak kedua sejak setahun lalu, saya periksa mereka dan memang tiada sebarang kesan lebam,” katanya.

Meor Ikram berkata, Muhammad Aakif Iskandar akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Larang, Ipoh selepas solat Zuhur hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Disiarkan pada: March 9, 2019 @ 1:49pm
d