mutakhir

[UPDATE] Paru-paru berair punca kematian bayi empat bulan

Oleh Farah Suhaidah Othman

LAPORAN bedah siasat ke atas bayi berusia empat bulan yang meninggal dunia selepas dihantar ke taska di Bandar Seri Botani, Ipoh semalam, mendapati punca kematiannya disebabkan paru-paru berair.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat berkata, keputusan itu diperoleh selepas bedah siasat dijalankan antara jam 9 pagi dan selesai 12.30 tengah hari hari ini.

“Punca kematian disahkan berpunca daripada paru-paru sembab atau berair,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazuki berkata, siasatan awal mendapati bapa bayi itu menerima panggilan daripada taska jam 6 petang yang memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri sebelum bergegas bersama isterinya ke taska berkenaan.

“Kira-kira 6.15 petang, bapa dan ibu bayi berkenaan tiba ke taska dan mendapati anaknya tidak sedarkan diri, manakala seluruh badannya pucat serta tiada denyutan nadi.

“Bapa mangsa terus membawa anaknya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan bayi berkenaan dimasukkan ke zon kritikal untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Mazuki berkata, bapa bayi berkenaan memberitahu keadaan anaknya ketika dihantar ke taska sihat cuma menghidap sedikit selesema.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan, Muhammad Aakif Iskandar Meor Ikram yang juga anak bongsu daripada tiga beradik meninggal dunia ketika menerima rawatan di HRPB jam 6.55 petang.

Bapa bayi berkenaan, Meor Ikram Addnan, 32, ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB berkata, anaknya baru sebulan dihantar ke taska itu selepas isterinya, Ismahani Zainal Abidin, 30, selesai berpantang manakala anak keduanya juga dihantar ke taska sama sejak setahun lalu.

Berita berkaitan

Bayi empat bulan maut

Disiarkan pada: March 9, 2019 @ 3:27pm
d