mutakhir

Gagak 'takluk' Kota Fesyen MITC

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

KEHADIRAN kumpulan gagak di perkarangan premis perniagaan di Kota Fesyen, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) mencacatkan kawasan itu selain turut menjejaskan punca rezeki peniaga.

Lebih teruk tompokan najis burung itu ada pada lantai dan kaki lima premis malah turut mengenai pengunjung serta peniaga.

Tinjauan mendapati banyak tompokan najis burung kering dilihat pada lantai di sepanjang tiga laluan berbumbung selain celah lorong antara bangunan malah keadaan agak kotor dengan timbunan sampah kecil.

Rata-rata peniaga mendakwa belum membuat aduan ke Perbadanan Melaka Holding (PMH) namun pernah mencadangkan supaya memasang bumbung kedua lebih rendah bagi mengelakkan kejadian ditimpa najis burung tetapi ditolak.

Peniaga kain, Lim Ee Ann, 58, berkata, beberapa gulungan kain pasang yang ditempatkan di luar kedai rosak akibat najis burung yang bertenggek di bumbung lorong menyebabkannya terpaksa memotong material berkenaan.

“Walaupun potong sedikit tetapi ia kerugian besar bagi saya kerana perlu potong setiap kali najis terkena kain,” katanya yang lebih 10 tahun berniaga di situ.

Peniaga restoran masakan Melayu, Zaharin Yusof, 48, berkata, premisnya turut terjejas disebabkan masalah sama sehingga pelanggan enggan membayar selepas najis terjatuh ke dalam makanan.

“Jika dilihat, banyak tompok najis burung di lantai. Walaupun pernah menggosok najis untuk menghilangkan kesan selepas hujan, keadaan seperti tidak berubah apabila najis itu ada semula esoknya. Pelanggan pun seperti geli ke restoran kerana tompok najis ini,” katanya.

Sementara itu, pelanggan Mohd Afif Md Nasir, 36, pernah melalui pengalaman sendiri apabila najis burung gagak terjatuh ke dalam air minumannya ketika berada di kedai makan di situ baru-baru ini.

“Saya terkejut namun agak lucu kerana tiba-tiba kejadian itu berlaku sekelip mata.

“Jadi, saya cadangkan kepada kerajaan negeri supaya mengambil perhatian mengenai masalah itu kerana ia juga boleh menjejaskan perniagaan di situ,” katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2019 @ 5:47pm
d