mutakhir

Sungai Chohong tercemar

Oleh Mohd Hilmie Hussin

PENCEMARAN air Sungai Chohong, Jasin dipercayai akibat pencemaran dari kilang pengeluaran ayam dan sampah di Tangkak, Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka Datuk Tey Kok Kiew berkata, pihaknya sudah mengenal pasti punca pencemaran ini yang tidak bermula di Melaka sebaliknya dari Tangkak.

“Setakat ini kita sudah kenal pasti aktiviti penternakan ayam dan pembuangan sampah dari hulu sungai iaitu di Johor sebagai punca pencemaran Sungai Chohong.

“Malah kita juga sudah meminta pihak terbabit mengambil tindakan segera bagi menangani isu ini kerana jika sungai tercemar, kita sebagai pengguna berkemungkinan mendapat bekalan air yang tercemar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai mahupun pihak industri digesa tidak membuang sisa penternakan dan pertanian ke sungai selain menggesa pihak berkuasa memantau lokasi yang sering menjadi tempat pembuangan sisa.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, kerajaan negeri difahamkan pencemaran itu berpunca daripada buangan penternakan ayam dan najis babi di Tangkak.

“Lokasi punca pencemaran sudah dikenal pasti dan kita berharap masalah ini diselesaikan segera,” katanya.

Menurut sumber, Jabatan Veterinar Tangkak dan Jabatan Alam Sekitar Johor sudah membuat serbuan ke sebuah premis penetasan ayam di Bekoh, Tangkak dan mendapati kolam takungan itu tidak dijaga lalu disalurkan terus ke sungai.

Disiarkan pada: March 9, 2019 @ 6:25pm
d