mutakhir

Terima kasih MAIK

Oleh Ramli Ibrahim

KEHIDUPAN tiga beranak yang terpaksa menjadikan kandang kambing sebagai tempat tinggal sejak setahun lalu berakhir apabila mereka berpindah ke rumah baharu, petang semalam.

Ruslida Kamarazaman, 39, bersama dua anaknya berusia dua dan tujuh tahun berpindah ke rumah yang dibina Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Kampung Chegar Bongar, Gua Musang.

Ruslida berkata, dia bersyukur dan gembira selepas penantian untuk memiliki rumah lebih selesa berakhir apabila rumah bantuan MAIK itu siap dibina pada September lalu dan mula diduduki semalam.

“Alhamdulillah, selepas berita kesusahan hidup kami sekeluarga dipaparkan akhbar, pihak MAIK tampil membantu menawarkan rumah.

“Kalau saya nak bina sendiri memang tidak mampu, namun dengan keprihatinan MAIK kami sekeluarga dapat tinggal di kediaman lebih selesa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Akhbar pada Jun 2018 melaporkan Ruslida bersama anaknya terpaksa tinggal di kandang kambing kerana kesempitan hidup.

Selepas bercerai dengan suaminya dia tidak mampu menyewa rumah berikutan pendapatan hasil upah menoreh getah hanya RM10 sehari.

Adik iparnya memberi kebenaran kepadanya untuk tinggal di kandang kosong itu.

Menurutnya, sejak berita mengenai kehidupan diketahui umum, dia menerima bantuan daripada pelbagai pihak.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 11:23am
d