mutakhir

Mengaku terima rasuah [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani

PENOLONG Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini, selepas mengaku salah menerima rasuah RM30,000 pada 2017.

Hakim Kamarudin Kamsun, turut memerintahkan Ismail Busrah, 39, menjalani hukuman penjara 14 bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ismail sebagai penjawat awam didakwa menerima suatu benda berharga iaitu wang tunai bernilai RM30,000.

Ia sebagai tanda balasan daripada pengurus sebuah syarikat petroleum yang mana tertuduh mengetahui ada hubungan dengan tugas rasmi sebagai Pegawai Penyelia Projek di Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Pengerang.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di lampu isyarat menghala ke Jalan Lingkaran Dalam, di sini, antara jam 2.15 petang hingga 2.30 petang, pada 31 Oktober 2017.

Ismail didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammed Heikal Ismail, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh atas kesalahan yang dilakukannya kira-kira dua tahun lalu.

Tertuduh dalam rayuannya bagaimanapun meminta mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan mengambil kira ia adalah kesalahan pertama.

“Saya juga seorang penjawat awam yang cemerlang dan menerima anugerah cemerlang sebanyak dua kali.

“Saya menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini, selain mempunyai seorang anak masih bersekolah, menanggung kedua ibu bapa dan ibu bapa mentua,” katanya yang turut menyara empat anak abangnya.

Kamarudin ketika menjatuhkan hukuman denda RM50,000 meminta tertuduh menyesal dan tidak mengulangi perbuatan itu.

Akhbar pada 2017 melaporkan SPRM menahan seorang Penolong Pengarah JKKP Johor kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM30,000.

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 1:10pm
d