mutakhir

Mereka makin melampau

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

GOLONGAN lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) disifatkan semakin melampau dan mencabar undang-undang serta kesabaran umat Islam.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, tindakan mereka mengadakan perhimpunan haram di ibu negara semalam menunjukkan golongan terbabit tidak menghormati pendirian kerajaan yang menolak aktiviti berkenaan.

Katanya, sebelum ini masyarakat khususnya umat Islam masih boleh bertolak ansur dengan golongan berkenaan demi mahu mengajak mereka untuk kembali ke pangkal jalan.

“Bila kita tolak ansur bukan mereka menerima seruan dakwah, tetapi cabar kesabaran kita dan ini perlu diambil tindakan tegas termasuk tindakan undang-undang.

“Jika tindakan tidak diambil, inilah yang akan terjadi..bukannya mereka sedar sebaliknya mahu kita menghalalkan aktiviti mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Forum Pemuda Al-Fateh Bersama Mufti Pahang anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) di Masjid Sultan Ahmad Shah 1, Kuantan hari ini.

Hadir sama, Pengasas dan Penasihat YDKMM, Dr Mohd Hizul Azri Md Noor dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Pahang, Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.

Semalam, 1,000 orang termasuk golongan penyokong LGBT serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO), aktivis serta pelajar dikatakan menyertai perhimpunan berkenaan di ibu negara.

Penyokong LGBT itu juga dilihat membawa bendera warna pelangi selaku simbol golongan terbabit.

Abdul Rahman berkata, dalam Islam tiada istilah kesamarataan gender dan apabila sudah tertakluk dalam hukum syarak bahawa LGBT itu maka ia adalah salah.

“Ia (LGBT) tidak boleh dihalalkan atau memberi ruang kepada mereka untuk hidup dalam kemaksiatan..kita kena bertegas berhubung perkara ini.

“LGBT ini hanya mendatangkan kerosakan kepada negara dan ia dilaknat oleh Allah, ia juga boleh menyebabkan malapetaka diturunkan..itu yang membimbangkan,” katanya.

Abdul Rahman berkata, umat Islam yang menyertai perhimpunan dan menyokong golongan LGBT dinasihatkan supaya bertaubat kerana tindakan mereka itu jelas melanggar hukum syarak.

Beliau berkata, antara faktor yang menyebabkan golongan berkenaan yang dilihat semakin berani menuntut hak mereka adalah kerana mendapat sokongan pihak tertentu yang berpengaruh termasuk sokongan dari pihak luar.

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 3:13pm
d