mutakhir

Mana kad kuasa?

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

SUAMI isteri yang baharu melangsungkan perkahwinan sebulan lalu kecewa dengan tindakan beberapa anggota penguat kuasa agama terhadap mereka di Pantai Senok, Bachok, Jumaat lalu.

Pasangan berkenaan, Nor Elissa Julia Norhisham, 22, dan suami, Tengku Haidiel Shah Tengku Shahudin, 24, didatangi lima lelaki ketika bersiar-siar bersama suami dan dua adik lelaki berusia 16 serta 17 tahun kira-kira jam 6.08 petang.

Video rakaman berdurasi 21 saat yang dimuat naik Nor Elissa Julia pada jam 9.30 malam Jumaat lalu tular di Facebook dan mendapat lebih 4,000 tanda suka dan dikongsi lebih 6,500.

Nor Elissa Julia berkata, ketika sedang bergambar, secara tiba-tiba mereka didatangi lima lelaki yang memberi salam sebelum bertanya mengenai status perkahwinan mereka.

“Saya dan suami jawab sudah berkahwin sejak sebulan lalu dan minta adik lelaki mengambil kad kahwin dalam kereta.

“Pada masa sama, salah seorang daripada mereka, membuat rakaman dan saya bertanya kepadanya adakah dia merakam video? Lelaki itu jawab ya (rakam) sebab telefon dia.

“Kami tunjuk kad kahwin dan saya minta kad penguat kuasa, namun mereka tidak tunjuk. Mereka juga menegur supaya saya tidak berpegang tangan dengan suami di tempat awam,” katanya ketika ditemui di Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu hari ini.

Menurutnya, dia dan suami tidak berpuas hati dengan tindakan kumpulan lelaki itu yang kemudian meninggalkan mereka tanpa meminta maaf.

“Cara anggota penguat kuasa agama yang membuat serbuan di khalayak itu memalukan kami kerana orang beranggapan kami tidak berkahwin.

“Saya memuat naik status di Facebook kerana mahu anggota penguat kuasa terbabit mohon maaf kerana mengaibkan kami,” katanya.

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 3:50pm
d