mutakhir

Buru suspek utama bunuh usahawan tekstil

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS kini sedang memburu lelaki warga asing dipercayai suspek utama pembunuhan kejam dua individu yang juga usahawan tekstil dari Indonesia, 26 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya kini sudah mengenalpasti suspek dan usaha menjejaki suspek sedang giat dijalankan.

“Suspek dipercayai dalang utama dalam jenayah kejam itu dan polis percaya dapat menyelesaikan kes ini jika suspek tertangkap.

“Kita percaya ada beberapa lagi suspek namun dia adalah dalang utama,”katanya ketika dihubungi di Sungai Buloh, hari ini.

Difahamkan, dua suspek warga Pakistan yang ditahan pada 29 dan 30 Januari lalu dibebaskan dipercayai tiada kaitan dengan pembunuhan terbabit.

Terdahulu, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap dua mayat tidak sempurna yang ditemui di Bandar Desa Coalfield, Sungai Buloh, 26 Januari lalu disahkan sebagai usahawan tekstil dari Bandung, Indonesia, Ujang Nuryanto, 37.

Sementara, satu lagi mayat disahkan rakannya Ai Munawarroh, selepas tiga minggu ujian DNA dilakukan.

Pada 26 Januari lalu, mayat dua individu tanpa identiti ditemui berhampiran sungai di kawasan kelapa sawit.

Selain itu, satu plastik dipercayai mengandungi kepala, tangan dan kaki yang turut ditemui di lokasi kejadian oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan, 2.30 petang.

Hasil pemeriksaan polis mendapati mayat seorang lelaki dan wanita yang ditemui di lokasi kejadian.

Susulan itu, dua lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan dua mayat berkenaan.

Berita berkaitan:

  • Kes dua mayat tanpa anggota: Keluarga masih tunggu DNA
  • Polis tunggu keputusan DNA mangsa bunuh
  • 2 suspek direman lima hari lagi
  • Dua lelaki warga asing ditahan
  • Sah mayat usahawan tekstil dari Bandung
  • Operasi cari anggota badan mangsa bunuh dihentikan'
  • Cari kaki, tangan dua mayat 'kudung''
  • 'Mayat lelaki, wanita tanpa anggota badan'
  • Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 3:51pm
    d