mutakhir

Selar perhimpunan LGBT

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kesal dengan tindakan sekumpulan peserta perarakan Hari Wanita Antarabangsa di Kuala Lumpur, semalam yang menyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, Jakim menolak sebarang usaha untuk mengiktiraf LGBT di negara ini selaras pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang jelas mengatakan bahawa Malaysia tidak boleh menerima sistem nilai yang diamalkan di negara barat itu.

Beliau berkata, pendirian sama turut ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang melarang sebarang usaha untuk mempromosikan LGBT di negara ini.

“Sejak dahulu lagi LGBT tidak diterima di negara kita. Jangan ada mana-mana pihak yang cuba mencemarkan imej Malaysia sebagai negara Islam.

“Demokrasi tidak bermaksud semua orang boleh buat apa yang disukainya, lebih-lebih lagi apa yang diperjuangkan bertentangan dengan undang-undang, ajaran agama, nilai dan norma masyarakat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Jakim komited menangani dan membantu golongan yang terjebak dengan budaya LGBT melalui program rawatan dan pemulihan yang dijalankan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai pihak.

Media semalam melaporkan lebih 1,000 orang dikatakan menyertai perhimpunan berkenaan bermula berhampiran pusat beli belah Sogo sebelum kumpulan berkenaan berarak ke Masjid Jamek.

Difahamkan, ia disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Women’s Aid Organization (WAO), Sisters In Islam (SIS) dan aktivis serta pelajar.

Perhimpunan juga didakwa disertai penyokong LGBT yang antara lain membawa bendera warna pelangi selaku simbol golongan terbabit.

Antara perkara yang dituntut kumpulan berkenaan pada perhimpunan itu adalah menghapuskan diskriminasi jantina, menghentikan keganasan terhadap wanita dan kesaksamaan gender.

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 5:13pm
d