mutakhir

Lewat serah keputusan punca pinjaman tertangguh

Oleh Ahmad Ismail

KELEWATAN peminjam menyerahkan keputusan peperiksaan kepada institut pengajian tinggi (IPT) masing-masing antara faktor proses pengagihan wang pinjaman Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) tahun ini tertangguh.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri Aminolhuda Hassan berkata, penangguhan bayaran pinjaman itu hanya membabitkan sebahagian IPT terutama yang penuntutnya lewat menyerahkan keputusan mereka.

Menurutnya, di pihak kerajaan negeri dan YPJ sendiri peruntukan pinjaman sudah ditetapkan mengikut kadar peminjam di setiap IPT.

“Kami ada terima maklumat kelewatan pelajar menerima wang pinjaman YPJ tahun ini.

“Bagaimanapun, apabila disiasat kami mendapati ia berlaku bukan disebabkan masalah atasan sebaliknya berpunca kerana pengurusan IPT terpaksa mengambil masa memproses dokumen peminjam.

“Pengurusan IPT lewat memproses data disebabkan sebahagian kecil peminjam lambat menyerahkan keputusan mereka, ia menyebabkan institusi terpaksa tunggu semua peminjam menyerahkan maklumat sebelum melengkapkan proses,” katanya selepas menyempurnakan perasmian Seminar Pendidikan Islam Negeri Johor Sempena Hari Keputeraan Sultan Johor di Masjid Segamat, semalam.

Hadir sama Pegawai Daerah Segamat Abdul Rahman Salleh dan Kadi Daerah Segamat Baharin Jalal serta 280 guru sekolah agama di sekitar daerah itu.

Aminolhuda berkata, bagi mengelak pinjaman terus tertangguh, pengurusan IPT boleh menghantar terus senarai terbabit kepada YPJ bagi memastikan peruntukan dapat disalurkan segera kepada mereka yang memerlukan.

“Prosedur pengagihan wang ini diserahkan oleh YPJ dan pihak pengurusan IPT akan agihkan kepada peminjam.

“Kerajaan negeri akan memastikan kebajikan penuntut terjamin dan bantuan seperti itu tidak diketepikan, pendekatannya akan ditambah baik pada masa depan,” katanya.

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 5:54pm
d