mutakhir

Polis akan panggil penganjur

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

POLIS akan memanggil penganjur Himpunan Mahasiswi Ubah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) yang diadakan di Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur, hari ini bagi mengambil keterangan kerana berhimpun secara haram.

Timbalan Ketua Polis Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, himpunan disertai kira-kira 50 mahasiswi anjuran Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA) berkenaan tidak mempunyai permit.

Katanya, mereka juga turut melakukan kesalahan kerana berarak tanpa kebenaran polis.

“Perhimpunan ini tidak mempunyai permit untuk berhimpun dan melanggar Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

“Selain itu, polis mendapati mereka turut melakukan kesalahan kerana berarak dari Masjid Jamek di Jalan Tun Razak hingga ke kompleks beli-belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman,” katanya ketika ditemui di perkarangan KompleksSogo hari ini.

Sebelum ini, kira-kira 50 mahasiswi berarak sejauh kira-kira dua kilometer (km) bermula dari pekarangan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek ke Sogo.

Peserta turut membawa kain rentang tertera perkataan ‘Tuntut Janji’, ‘Ubah PTPTN’ dan ‘Tuntut Pendidikan Berkebajikan’.

Himpunan bermula 2 petang itu bagi menggesa kerajaan mewajibkan pembayaran balik PTPTN ke atas individu yang hanya bergaji RM4,000 ke atas.

Pada 17 November lalu, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan dilaporkan berkata, PTPTN tidak mampu menangguhkan pembayaran balik pinjaman tabung itu bagi peminjam yang berpendapatan di bawah RM4,000.

Katanya, jika cadangan itu diteruskan juga, ia akan menjejaskan dana serta pemerolehan wang sekaligus memberi kesan buruk kepada PTPTN bagi jangka masa panjang.

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 6:31pm
d