mutakhir

[UPDATE] Main telefon bimbit sebelum disambar petir [METROTV]

Oleh Faliq Lajim

“KETIKA itu, Rohim duduk di sebelah saya dan sedang menggunakan telefon bimbit. Tiba-tiba ada bunyi guruh sangat kuat serta kilat sebelum saya lihat Rohim terkaku dengan bajunya terbakar,” kata Mohamed Noor Zafar, 19.

Mohamed Noor adalah rakan kepada Rohimullah, 19, yang maut dipanah petir di Padang Bola Setia Badminton Academy, Persiaran Murni Seksyen U13, Setia Alam, Shah Alam, pada 5 petang hari ini.

Dalam kejadian berkenaan, tiga lagi rakannya iaitu Abdul Rahman Abul Hussin, 30; Kamaluddin Abu Tahir, 30; dan Hussein Ahmad Asod Ali, 20, dilaporkan parah dan sedang mendapatkan rawatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Mohamed Noor berkata, sebelum kejadian, dia sedang bermain bola sepak bersama rakannya yang lain.

“Rohim hanya datang di padang bola berkenaan untuk memberi sokongan kepada pasukan kami iaitu Klang Rohingnya Football Club (KRFC).

“Namun permainan itu terpaksa dihentikan memandangkan cuaca sangat gelap disusuli guruh kuat. Saya kemudian memanggil bas untuk menjemput kami pulang di padang berkenaan.

“Tiba-tiba, guruh terlalu kuat dan menyambar beberapa kawan yang ada di atas padang berkenaan,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di HTAR, Klang.

Mohamed Noor berkata, ketika kejadian dia sangat panik dan memanggil beberapa orang tempatan untuk membantu rakannya yang dipanah petir.

Menurutnya, memang setiap hujung minggu tidak kira Sabtu atau Ahad, pasukannya akan bermain bola sepak menerusi perlawanan persahabatan dengan pasukan lain.

Katanya, mereka tinggal di sekitar Pasar Borong Meru dan bekerja di situ selain memiliki kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Sementara itu, abang Rohimullah yang hanya mahu dikenali sebagai Aro Fulla, 22, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di rumahnya di Jalan Sentosa, Meru, sebelum dihubungi bapa saudaranya yang memaklumkan kejadian itu.

“Saya tidak tahu Rohim pergi tengok bola dan apabila diberitahu saya sangat terkejut.

“Saya sudah memaklumkan kejadian berkenaan kepada ibu bapa di Myanmar. Mereka menangis dan terkejut, namun reda dengan kejadian itu,” katanya.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Perlawanan sudah dihentikan'

'Maut disambar petir'

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 8:46pm
d