mutakhir

Statut Rom: Kekebalan Agong tak terjejas

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KEPUTUSAN Malaysia menyertai Statut Rom dibuat selepas yakin bahawa kedudukan dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong tidak akan terjejas.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata, kerajaan sudah mengkaji secara mendalam dan teliti daripada segi semua aspek sebelum membuat keputusan untuk menyertai Statut Rom.

Menurutnya, Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah juga sudah menyembah maklum perkara ini kepada Yang di-Pertuan Agong dan memberi penerangan berhubung hasrat kerajaan untuk menyertai Statut Rom pada 15 Februari lalu.

“Ini adalah lanjutan kepada warkah daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada pemangku Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 26 Disember yang lalu, atas perkara yang sama.

“Keputusan kerajaan untuk menyertai Statut Rom adalah selari dengan dasar kerajaan ‘Malaysia Baharu’ yang menegakkan prinsip kebenaran, hak-hak kemanusiaan, kedaulatan undang-undang, keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kebertanggungjawaban.

“Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong membuat

sesuatu keputusan di atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri,” katanya.

Katanya, Malaysia berpegang kepada prinsip bahawa jenayah-jenayah serius seperti yang termaktub dalam Artikel 5 Statut Rom iaitu genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan, adalah jenayah yang tidak dapat diterima oleh seluruh masyarakat antarabangsa di mana pelaku yang terbabit harus dibawa ke muka pengadilan.

ICC berpegang kepada prinsip di mana Artikel 17 Statut Rom memperuntukkan bahawa sesuatu kes jenayah antarabangsa hanya akan disiasat atau didakwa di ICC sekiranya sesebuah Negara Pihak, di atas sebab-sebab tertentu, tidak berkemahuan atau tidak berkemampuan (unwilling or unable) untuk melaksanakan siasatan dan dakwaan ke atas mana-mana individu yang disyaki melakukan sesuatu jenayah antarabangsa.

Dalam erti kata lain, ianya adalah mahkamah pilihan terakhir (court of last resort).

Sehingga 4 Mac lalu, 124 negara menjadi Negara Pihak kepada Statut Rom dimana jumlah Negara Pihak adalah lebih tinggi daripada bilangan negara yang bukan Negara Pihak.

Dalam kalangan negara-negara pihak ini, terdapat negara-negara yang mempunyai sistem raja berperlembagaan seperti Belgium, Kemboja, Denmark, Jepun, Jordan, Lesotho, Liechtenstein, Luxembourg, Belanda, Norway, Samoa, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom.

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 9:10pm
d