mutakhir

Cemas pendingin hawa hotel terbakar

Oleh Muhammad Apendy Issahak

PENGHUNI sebuah hotel di Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh gempar apabila diarah keluar selepas berlaku kebakaran di bahagian lobi hotel berkenaan, malam tadi.

Dalam kejadian 11 malam itu, semua penghuni membabitkan 16 bilik di hotel enam tingkat itu diarah keluar menyelamatkan diri sebaik pekerja hotel menyedari berlakunya kebakaran dan asap memenuhi bahagian lobi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Mahmud Azaddin Mohd Najmuddin, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 11.03 malam dan tiba di lokasi empat minit kemudian.

“Berdasarkan maklumat awal, bomba dimaklumkan berlaku kebakaran membabitkan pendawaian di hotel berkenaan.

“Sebaik tiba, pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan satu unit pendingin hawa siling di lobi hotel dan bomba memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, selepas api berjaya dipadamkan, pasukannya membuat pemeriksaan dan pemantauan lanjut di bahagian siling lobi bagi memastikan tiada lagi kebakaran.

“Kebakaran hanya membabitkan satu unit pendingin hawa sahaja dan tidak merebak ke bahagian lain.

“Selepas pemantauan dilakukan dan keadaan selamat, semua pekerja serta penghuni hotel dibenarkan kembali ke dalam hotel berkenaan," katanya.

Mahmud Azaddin berkata, operasi membabitkan satu jentera dengan tujuh anggota tamat sepenuhnya pada 12.40 tengah malam dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 2:08am
d