mutakhir

Lelaki maut, motosikal langgar tiang papan tanda

Oleh Fardy Bungga

PENUNGGANG motosikal maut selepas merempuh tiang papan tanda di Jalan Bunga Matahari, Labuan, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian 4.45 pagi itu, mangsa Bobleeroy Salleh, 20, difahamkan menunggang motosikal jenis Modenas Kriss bersendirian dipercayai menuju ke Jalan Tun Mustapha.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan hilang kawalan dan melanggar tiang papan tanda di jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berasal dari Tenom tidak mempunyai lesen motosikal.

Katanya, pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia akibat kecederaan serius di kepala dan badan.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Nukleus Wilayah Persekutuan Labuan untuk bedah siasat, manakala motosikal mangsa dihantar ke Puspakom untuk ujian.

“Mangsa disyaki menunggang motosikal dalam keadaan mabuk dan ketika kejadian, keadaan jalan dan cuaca juga baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan lanjut.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 10:04am
d