mutakhir

Ditahan ketika leka jual sayur

Oleh Noorazura Abdul Rahman

LAPAN warga asing yang leka menjual sayur-sayuran di lot pasar pagi, di Alor Setar ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam dua operasi bersepadu semalam.

Mereka adalah antara 11 yang ditahan selepas pemeriksaan terhadap 100 warga asing dalam operasi dinamakan Ops Jaja dan Ops Sapu di Alor Setar serta Jitra.

Pengarah JIM Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, dalam Ops Jaja yang bermula jam 9.30 pagi sehingga 2.30 petang, seorang lelaki dan lima wanita Indonesia; serta masing-masing seorang wanita Thailand dan Myanmar ditahan.
Katanya, ada di antara mereka yang menjadi pembantu menjual sayur-sayuran serta barang lain, malah ada juga yang menjual sendiri dipercayai menjadi tauke di lot kedai pasar terbabit.

Menurutnya, setelah diperiksa mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa.

“Dalam Ops Sapu yang bermula 4.30 petang hingga 6.30 malam di sekitar asrama pekerja di Jitra pula, tiga lelaki warga India yang bekerja sebagai buruh memasang kabel ditahan apabila didapati melakukan kesalahan sama.

“Operasi di sekitar asrama pekerja ini dilakukan selepas JIM menerima aduan orang ramai mengatakan mereka mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zuhair berkata, kesemua warga asing berusia antara 19 hingga 43 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tiada dokumen perjalanan sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal lebih masa.

Katanya, mereka semua ditahan di lokap imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Alor Setar sebelum dihantar ke Depot Imigresen, Belantik, Sik.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 10:25am
d