mutakhir

Kereta sapu warga asing kaut RM20,000 sebulan

Oleh Mohd Sabran Md Sani

BERMODALKAN ‘kereta sakit’ yang dibeli daripada pihak ketiga serendah RM2,000 sebuah, sindiket kereta sapu didalangi warga asing dikesan mengaut keuntungan sehingga RM20,000 sebulan sejak tiga tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Razali Wagiman berkata, kegiatan itu terbongkar susulan operasi khas Unit Siasatan dan Risikan JPJ Johor di sekitar bandar Sungai Rengit, Johor Bahru jam 12.45 tengah hari semalam.

Katanya, operasi diketuai Timbalan Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan bersama enam anggota itu berdasarkan aduan yang diterima daripada orang awam termasuk pemandu teksi mengenai kegiatan kereta sapu warga asing.

“Hasil risikan itu, 11 kenderaan persendirian ditahan dan disita JPJ selepas didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (tiada lesen memandu),” katanya pada sidang media di Pejabat JPJ Johor hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kegiatan membawa kereta sapu tanpa permit itu didalangi warga asing dari Bangladesh dan Nepal dengan operasi mengambil penumpang sejak tiga tahun lalu.

“Hasil siasatan, kegiatan itu bermula sejak projek di Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Pengerang memulakan operasi tiga tahun lalu.

“Modus operandi mereka adalah dengan mensasarkan kereta sakit yang dijual pihak ketiga pada harga murah sebelum dijadikan kereta sapu untuk membawa rakan senegara di kawasan Bandar Sungai Rengit, Pengerang,” katanya.

Katanya, pemilik kereta warga asing itu dikesan memajak kepada setiap pelanggan yang juga rakan senegara dengan harga RM100 sebulan.

“Siasatan mendapati mereka membawa sekurang-kurangnya 150 penumpang sehari untuk di pajak pelanggan tetap di sekitar bandar Sungai Rengit.

“Malah kenderaan terbabit ibarat tin sardin kerana boleh memuatkan sehingga lapan penumpang untuk setiap kali perkhidmatan,” katanya.

Katanya, pihaknya percaya semua kereta itu dibekalkan seorang warga tempatan berusia 60-an yang menawarkan kereta sakit dengan harga RM2,000 hingga RM3,500 sebuah.

“Kebanyakan kereta itu mempunyai masalah pembayaran ansuran bank atau ‘lari bank’ sebelum dijual pada harga murah kepada warga asing berusia 20 hingga 40-an untuk dijadikan kereta sapu,” katanya.

Katanya, tindakan itu menyebabkan pendapatan pemandu teksi terjejas.

Menurutnya, semua pemandu yang memandu kenderaan itu berdepan tindakan mengikut Seksyen 23(2) APJ 1987 kerana menyalah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM).

“Sabit kesalahan, pemandu dan pemilik kenderaan boleh dikompaun mengikut Seksyen 26(2) APJ 1987 yang boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua, pemilik dan pemandu akan didenda RM1,000 hingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Katanya, kenderaan itu disita sehingga kes selesai manakala warga emas yang menjadi pihak ketiga menawarkan kereta serta semua pemandu kereta sapu warga asing sudah diambil keterangan.

“Pada masa sama 22 saman dikeluarkan kepada kedua-dua pihak berkenaan dan menahan 11 kereta sapu termasuk Proton Saga, Wira dan Waja,” katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 12:43pm
d