mutakhir

Putus tangan kena tetak

Oleh HM Digital

AHLI perniagaan putus tangan kirinya selepas ditetak lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di Pasar Kabong, di Saratok, malam tadi.

Mangsa, Bong Poh Leong, 25, dilaporkan berada dalam kedainya sebelum tiba-tiba diserang suspek berusia 24 tahun menggunakan parang panjang pada 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superitendan Polis (DSP) Mordani Tanin berkata, punca kejadian belum dikenal pasti kerana mangsa mendakwa tidak mengenali suspek.

“Ketika itu mangsa dipercayai berada seorang diri dalam kedainya sebelum dihampiri suspek lalu menyerangnya menggunakan parang panjang.

“Mangsa yang terkejut tidak sempat berbuat apa-apa selain hanya mampu cuba menghalang parang dihayun suspek menggunakan tangan kiri sehingga menyebabkannya putus,” katanya.

Katanya, mangsa juga hairan apabila diserang suspek kerana tidak mengenali lelaki itu atau bermusuhan dengan sesiapa pun.

“Suspek menetak mangsa sebanyak tiga kali mengakibatkan tangan kiri mangsa putus. Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kabong sebelum dipindahkan ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, keadaan mangsa kini dilaporkan stabil, namun masih mengalami trauma susulan insiden menimpanya.

Sementara itu, suspek ditahan sendiri oleh anggota keluarganya selepas dimaklumkan beberapa saksi di tempat kejadian yang mengenalinya sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat,” katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 1:50pm
d