mutakhir

Syarikat perkhidmatan air didenda RM180,000

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SYARIKAT perkhidmatan bekalan air Hatimuda Sdn Bhd, didenda RM180,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengendalikan perkhidmatan itu tanpa lesen, empat tahun lalu.

Hakim Maimoonah Aid menjatuhkan hukuman terbabit ke atas Pengarah Teknikal Hatimuda Sdn Bhd, Mohd Sofi Ibrahim yang mewakili syarikat berkenaan.

“Selepas mempertimbangkan hujahan daripada pihak pendakwa dan peguam bela, mahkamah dengan ini mensabitkan OKS (Orang Kena Sabit) dengan kesalahan bagi dua pertuduhan itu.

“Bagi pertuduhan pertama, OKS dikenakan hukuman denda RM90,000 dan enam bulan penjara jika gagal bayar begitu juga dengan pertuduhan kedua.

“OKS juga tidak dibenarkan bayaran ansuran,” katanya ketika menjatuhkan hukuman itu.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, syarikat berkenaan didakwa mengusaha, menyedia dan mengadakan perkhidmatan bekalan air tanpa lesen individu yang diberikan mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Kesalahan itu dilakukan di Loji Rawatan Air (LRA) Ngoi-Ngoi, Kilometer 17 Jalan Jelebu dan LRA Sungai Terip, Kilometer 10 Jalan Jelebu, pada 27 Oktober 2015.

Berikutan itu, syarikat berkenaan didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Nur Hayati Zakaria, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Jamil Yaacob.

Pada 17 Oktober 2017, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) didenda RM220,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban berikutan tidak mematuhi syarat ‘standard’ dan syarat khas ditetapkan dalam pemberian lesen individu, dua tahun lalu.

SAINS mensubkontrakkan sebahagian aktiviti kepada Hatimuda Sdn Bhd untuk pengurusan, operasi dan penyelenggaraan LRA Ngoi-Ngoi dan LRA Sungai Terip.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 2:14pm
d