mutakhir

'Kesusahan penyebab utama saya berjaya'

Oleh Suraya Roslan

KEMISKINAN keluarga menjadi pembakar semangat buat Muhammad Amin Mohd Rosdi, 20 untuk berjaya dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2018 dengan memperoleh keputusan PNGK 4.0.

Lebih manis, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling, Kedah ini diumum antara lima Pelajar Terbaik STPM bagi kategori keluarga berpendapatan rendah (B40).

Anak kepada penoreh getah ini berkata, kesusahan keluarganya membuatkan dia bangkit untuk membantu keluarga keluar daripada kepompong kemiskinan, memandangkan bapanya hanya memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan hasil menoreh.

“Kesusahan bukan penghalang untuk kita berjaya, kalau orang cakap tidak boleh berjaya sebab susah ini semua auta.

“Sebenarnya, kesusahan juga antara penyebab utama untuk saya berjaya bagi mengubah nasib keluarga untuk bergelar seorang peguam,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2018, di Seri Kembangan hari ini.

Anak bongsu daripada dua beradik ini berkata, ada satu peristiwa yang membuatkan dia bersemangat untuk menaiki pentas sebagai penerima anugerah peringkat kebangsaan.

“Pada 2016, saya menjadi seorang daripada pemain gamelan Kolej Islam Alam Shah yang membuat persembahan di Anugerah Pelajar Terbaik STPM ketika itu.

“Ketika itu saya masih berusia 17 tahun dan menanam nekad untuk menaiki pentas sama sebagai pelajar terbaik STPM, Alhamdulillah hari ini impian saya termakbul,” katanya.

Sementara itu, pelajar terbaik STPM 2018 kategori pelajar istimewa spastik, Connie Ong Hui May, 20, berkata, dia belajar ketika hampir peperiksaan dan mengulangkaji satu buku teks terus bagi memudahkan untuk mengingati.

“Kesusahan saya untuk bergerak menggunakan kerusi roda antara dorongan untuk saya berjaya dengan bantuan rakan, keluarga dan guru.

“Tiada apa yang mustahil dalam hidup ini untuk berjaya, yang penting berusaha walaupun apa keadaan diri sekali pun.. kecacatan bukan penghalang untuk berjaya,” katanya yang memperoleh PNGK 4.0.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 2:35pm
d