mutakhir

Sindiket tipu pinjaman wang tumpas [METROTV]

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

TAKTIK sindiket pinjaman wang yang menawarkan komisyen lima peratus kepada pekerja selain menerima gaji bulanan dikesan menjadi sebab kepada pembabitan segelintir individu menyertai sindiket itu.

Difahamkan, mereka menerima gaji bulanan antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan selain disediakan penginapan yang membuatkan mereka sanggup bersekongkol untuk menipu orang ramai.

Perkara itu terbongkar selepas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan menyerbu pangsapuri di Jalan Datuk Lim Hoe Lek, 2 Mac lalu, dan berjaya menahan 18 suspek termasuk seorang wanita dipercayai terbabit dalam kegiatan menipu.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, dalam serbuan jam 6 pagi itu, semua suspek berusia 20 hingga 24 tahun terbabit dipercayai menjadi pekerja kepada sindiket yang menawarkan pinjaman tidak wujud sebelum memperdayakan orang ramai yang terdesak membuat pinjaman.

“Berdasarkan maklumat diterima, kita melakukan serbuan di dua rumah di kawasan pangsapuri itu.

“Dalam serbuan pertama, kita berjaya tahan 11 suspek termasuk seorang wanita. Hasil soal siasat membawa kepada serbuan kedua di kawasan pangsapuri yang sama dan kita tahan tujuh lelaki.

“Mereka dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan dengan memperdayakan mangsa yang ingin membuat pinjaman selepas tertarik dengan tawaran dibuat sindiket ini di laman sosial Facebook dan Twitter,” katanya dalam sidang media di IPD Kuantan, hari ini.

Mohamad Noor berkata, siasatan awal mendapati semua suspek dipercayai baru berpindah ke pangsapuri itu sejak dua bulan lalu dan hanya menanti panggilan dibuat mangsa sebelum mereka akan dijerat.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas puluhan telefon bimbit, kad sim, komputer riba dan beberapa buku nota dipercayai digunakan suspek untuk mencatit butiran mangsa dan maklumat pinjaman.

Katanya, turut dirampas 36 botol ubat batuk dan beberapa bungkusan cecair dipercayai air ketum dalam serbuan itu.

“Hasil soal siasat, kita mendapati semua pekerja berkenaan ditawarkan gaji bulanan selain komisyen sebanyak lima peratus daripada jumlah wang mangsa ditipu.

“Mereka bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain bagi mengelak dikesan polis, sebelum ini mereka pernah menjalankan aktiviti di Port Dickson dan Melaka,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Tiger dipercayai majikan kepada 18 suspek yang ditahan itu.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan suspek, Tiger adalah lelaki Cina berasal dari Melaka dan bertanggungjawab menguruskan tempat tinggal mereka serta proses pembayaran gaji.

“Kita percaya sindiket itu terbabit dalam 61 kes penipuan membabitkan pinjaman tidak wujud di seluruh negara dengan dua kes di daerah ini,” katanya.

Mohamad Noor berkata, semua suspek direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 3:26pm
d