mutakhir

Tak sempat berehat dan makan [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

POLIS Negeri Sembilan merampas 5.95 kilogram heroin susulan penahanan lelaki di kawasan perniagaan Seremban Gateway, Seremban Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, dadah bernilai RM104,000 itu dipercayai diperoleh dari Johor dan mahu diedarkan ke Selangor.

Beliau berkata, serbuan dilakukan ketika lelaki berusia 25 tahun itu yang memandu Perodua Myvi berhenti untuk berehat dan makan di sebuah restoran di kawasan berkenaan jam 4.30 petang.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui dadah jenis heroin dalam kotak yang diletakkan di bahagian bonet kereta.

“Polis kemudian menahan suspek dan merampas kereta serta barang kemas miliknya yang dianggarkan bernilai RM2,263,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan hari ini.

Mohamad berkata, siasatan mendapati suspek bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) dan ada rekod jenayah lampau membabitkan kes curi.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan sindiket serta individu lain yang disyaki terbabit dalam kegiatan itu.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari bermula Jumaat lalu sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 3:56pm
d